KUALA LUMPUR 23 Mei – Kuala Lumpur menduduki tempat ke-49 bagi kadar sewa untuk pangsapuri dua bilik tidur kelas pertengahan dengan kadar sewa sebanyak AS$448 (RM1,880) sebulan.
Menurut hasil kaji selidik tahunan kelapan mengenai harga global dan taraf hidup yang dijalankan Deutsche Bank, Hong Kong dinamakan sebagai bandar raya dengan kadar sewa termahal bagi pangsapuri jenis yang sama iaitu kadar sewa bulanan AS$3,685 (RM15,656) sebulan.
San Francisco dan New York menduduki tempat kedua dan ketiga dengan harga sewa masing-masing sebanyak AS$3,361 (RM14,097) dan AS$2,909 (RM12,201) sebulan.
Zurich menduduki tempat keempat dengan kadar sewa AS$2,538 (RM10,645) diikuti Paris (AS$2,455) (RM10,296); London (AS$2,338) (RM9,805); Boston (AS$2,201) (RM9,231); Dublin (AS$2,018) (RM8,464); Sydney (AS$1,969) (RM8,260) dan Tokyo (AS$1,903) (RM7,981).
Deutsche Bank juga melaporkan Singapura menduduki tempat ke-11 dengan kadar sewa pangsapuri dua bilik pada harga AS$1,893 (RM7,940) sebulan.
“Bagi bandar-bandar ASEAN yang lain, Jakarta menduduki tempat kedua dengan kadar sewa AS$662 (RM2,777) dan Manila di kedudukan ke-48 dengan kadar sewa AS$563 (RM2,361),” katanya dalam laporan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Laporan itu menyenaraikan 55 buah negara bagi kategori kadar sewaan pangsapuri dua bilik.
Selain itu, Shanghai dan Seoul juga merupakan bandar raya yang mahal dengan masing-masing berada di kedudukan ke-24 dan 32 iaitu kadar sewa mencecah AS$1,432 (RM6,006) dan AS$1,049 (RM4,400).
“Mumbai juga lebih mahal berbanding Kuala Lumpur dengan kadar sewa sebanyak AS$616 (RM2,584) sebulan dan Kaherah menduduki tangga terakhir dengan kadar sewa AS$285 (RM1,195).











