PGA fokus kes penyeludupan mercun, dadah, senjata api - Utusan Malaysia

PGA fokus kes penyeludupan mercun, dadah, senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG – Aktiviti penyeludupan mercun, dadah dan senjata menjadi fokus utama untuk dibanteras oleh Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi penugasan Op Wawasan di sepanjang sempadan Malaysia bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang pada musim perayaan Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau mahu PGA termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM) melipat gandakan kawalan dan operasi dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan itu.

Menurutnya, ketiga-tiga perkara itu diberi tumpuan kerana ia boleh mengugat keselamatan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sedia maklum ketika inilah (musim perayaan) akan berlaku peningkatan dalam aktiviti penyeludupan bahan terlarang terutama mercun yang sememangnya mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

“Perkara itu dapat dilihat apabila sudah ada yang menjadi mangsa (mercun). Begitu dengan bahan-bahan terlarang yang lain (senjata api dan dadah) turut diberikan tumpuan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan bersama anggota PGA di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini semalam.

Selepas berbuka puasa, Acryl Sani menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama pegawai dan anggota.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan; Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah; Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho.

Acryl Sani memberitahu, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Katanya, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada PGA dan polis dalam usaha mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan dan penyeludupan.

“Kita amat galakkan penyaluran maklumat ini bagi memudahkan penugasan pihak kami untuk mengekang aktiviti berkenaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini