KUALA LUMPUR – Sempena Hari Raya Aidilfitri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan iklan raya bertajuk Konvoi Epik Fantastik dengan mengetengahkan tradisi kunjung-mengunjung pada musim perayaan yang bakal ditayangkan di stesen televisyen bermula 1 Jun ini.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, iklan raya tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi pihaknya menyampaikan mesej bermakna bagi menyambut pelbagai perayaan agama dan budaya sepanjang tahun.
“Iklan raya pada kali ini memaparkan unsur-unsur kekeluargaan seperti tolak ansur, hormat menghormati, kesefahaman dan keikhlasan dalam mengukuhkan hubungan silaturrahim seterusnya menjadikan ia lebih erat dan bermakna.
“Kita juga ingin berkongsi kemeriahan sambutan hari raya dengan tradisi kunjung-mengunjung supaya ia kekal sebagai satu budaya dalam memupuk semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pratonton Eksklusif Iklan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bangunan Art Printing Works, Bangsar, di sini semalam.
Konvoi Epik Fantastik mengisahkan pengalaman dan tradisi sambutan hari raya seorang gadis bandar, Nabila yang berkonvoi ke 10 buah rumah adik-beradik datuknya.
Tayangan penuh iklan tersebut boleh ditonton di saluran YouTube TENAGAofficial #KonvoiEpik Fantastik bermula semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











