Lima bot nelayan Vietnam ditahan - Utusan Malaysia

Lima bot nelayan Vietnam ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan mencuri hasil perikanan negara di perairan Terengganu dalam operasi berasingan pada kelmarin dan semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Mohamad Zubil Mat Som berkata, KM Pekan dari Maritim Negeri Pahang telah menahan tiga bot nelayan Vietnam ketika mereka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu.

“Tiga buah bot nelayan Vietnam bersama 23 awak-awak termasuk tekong itu ditahan di kedudukan kira-kira 180 kilometer dari perairan Terengganu selepas lima jam dikejar. Kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki permit sah serta dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamad Zubil memberitahu, kira-kira pukul 8 pagi semalam, KM Pekan mengesan sebuah lagi bot nelayan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 54 kilometer dari Kuala Terengganu.

Jelas beliau, selepas diperiksa, bot itu yang membawa lima awak-awak termasuk tekong disyaki telah menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana nombor enjin bot tidak sama dengan lesen selain tidak memiliki nombor pendaftaran sah serta tidak menghidupkan sistem pemantauan vesel.

“Dalam operasi bersepadu Op Naga yang juga berlangsung semalam, KM Segantang dari Maritim Negeri Terengganu telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama-sama 12 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam yang juga didapati menceroboh dan menangkap ikan kira-kira 142 kilometer dari muara Kuala Terengganu.

“Kesemua lima bot bersama 40 awak-awak beserta tekong yang ditahan telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Zubil menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan negara, dan Op Pagar yang baru dilancarkan khusus dalam bulan Ramadan dijangka akan dapat mengekang aktiviti perlanggaran undang-undang termasuk pencerobohan bot-bot nelayan asing.

Tambahnya, aset-aset Maritim Malaysia di bawah Op Naga yang dilancarkan untuk membanteras bot-bot nelayan asing Vietnam sehingga kini telah menahan 17 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini