KUALA LUMPUR 23 Mei – Seramai 30 anak yatim diraikan dalam sebuah majlis berbuka puasa dan beramah mesra bersama peneraju dan pengeluar produk herba tropika, MISB Resources Sdn. Bhd. menerusi rangkaian produknya, Nona Roguy (NR) di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC), malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MISB Sdn. Bhd., Syed Hidzir Syed Agil Barakbah berkata, majlis itu yang julung kali diadakan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan keluarga besar pengeluar itu dengan para stokis.
“Majlis hari ini berbeza kerana kebiasaannya kita akan memperkenalkan produk baharu, namun sempena bulan mulia ini kita mahu menyambutnya bersama anak-anak yatim. Kita juga tidak mahu berbincang mengenai bisnes.
“Terima kasih kepada yang hadir terutamanya para media yang sentiasa bersama NR dan InsyaAllah, majlis sebegini akan terus disambut setiap tahun pada masa mendatang,” katanya ketika ditemui pemberita di PWTC, hari ini.
Turut hadir selebriti dan Duta Eksklusif NR, Anzalna Nasir.
Dalam majlis sama, Syed Hidzir turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang hadir daripada Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad dan Pusat Jagaan Suci Rohani.
Tambah beliau, majlis itu juga diadakan sebagai doa selamat khas buat Anzalna yang bakal melahirkan cahaya mata tidak lama lagi.
“Saya memanjat rasa syukur kepada Ilahi atas kemajuan dan pencapaian NR sehingga ke hari ini dan mendoakan semoga perkongsian sumbangan ikhlas kepada anak yatim ini dapat sedikit sebanyak menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











