JELEBU 23 Mei – Bas henti-henti yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Klawang – Seremban petang tadi didakwa dipandu laju semasa menuruni laluan di Bukit Tangga di sini.
Salah seorang penumpang yang enggan dikenali mendakwa, bas tersebut juga memotong beberapa kenderaan lain sebelum kemalangan itu.
Pelajar perempuan Kolej Vokasional Kuala Klawang itu berkata, dia yang duduk di bahagian sebelah kanan bas cemas apabila menyedari kenderaan itu terbabas lalu menjerit meminta pemandu menghentikan kenderaan.
“Bagaimanapun bas terbalik. Saya dan rakan-rakan yang cedera kemudian berjaya keluar melalui tingkap bas,” katanya ketika ditemui di Hospital Jelebu di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Alimi Lutfi Azimi, 15, berkata, dia yang duduk di bahagian tengah bas menundukkan kepala apabila menyedari bas itu gagal dikawal.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Klawang itu berkata, apabila bas dalam keadaan terbalik, dia merangkak keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas.
“Ketika itu saya terfikir untuk keluar dengan cepat kerana bimbang kenderaan itu terbakar atau meletup,” katanya. – UTUSAN ONLINE











