PUTRAJAYA 23 Mei – Prestasi pencapaian Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula Mei 2018 hingga 30 April lalu di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebanyak 63.15 peratus berdasarkan pelaksanaan 19 inisiatif di bawah tanggungjawab kementerian.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan pencapaian berkenaan walaupun masih terdapat banyak ruang perlu diperbaiki dan diberikan tumpuan.
Pencapaian itu juga jelasnya, menunjukkan bahawa komitmen warga KDN dalam memenuhi janji-janji manifesto dan seterusnya memastikan tanggungjawab kementerian dalam memelihara keselamatan, keamanan serta ketenteraman awam telah ditunaikan.
“Usaha yang berterusan perlu dilaksanakan terutama dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah yang sentiasa menjadi keutamaan kita.
“Ini temasuk usaha untuk menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) mengurangkan kadar kes berulang atau relaps dan residivis, memantau sempadan darat dan maritim negara serta melakukan reformasi dan kajian terhadap undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan,” katanya ketika berucap Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni di sini hari ini.
Selain itu jelas Muhyiddin, sepertimana dijanjikan dalam manifesto PH, KDN telah meluluskan taraf kewarganegaraan kepada 2,516 org warga emas berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat-syarat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Seiring dengan janji untuk mempertingkatkan integriti dan ketelusan, beliau menambah, KDN juga telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Penemuan Kem Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis.
Menurutnya, sesi pendengaran awam sedang berlangsung dan Iaporan penuh akan dikemukakan kepada kerajaan setelah siasatan selesai dijalankan.
Dari segi Prestasi KDN secara keseluruhan, beliau berkata, penunjuk pencapaian Menteri (MPI) bagi bulan Mac lalu adalah sebanyak 92.11 peratus.
“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, indeks jenayah bagi setiap 100,000 penduduk kekal rendah iaitu 61.26 berbanding sasaran sebanyak 66.52. Aktiviti penguatkuasaan ke atas PATI dan majikan yang menggaji PATI juga diteruskan dengan 2,924 operasi telah dijalankan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Dalam usaha mengurangkan kadar residivis tambahnya, sebanyak 285 orang yang telah menjalani program kerjasama pintar korporat bertujuan untuk menyediakan Iatihan dan penempatan pekerjaan kepada mereka setelah selesai menjalani tempoh parol kelak.
“lni adalah sebahagian daripada pencapaian KDN bagi tempoh tiga bulan pertama ini.
“Saya yakin dengan komitmen dan kesungguhan seluruh warga KDN melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing, kita akan dapat meneruskan momentum ini dan mencapai semua sasaran yang ditetapkan bagi semua 27 aktiviti di bawah MPI bagi tahun 2019,” katanya.- UTUSAN ONLINE











