BEIJING 23 Mei – China mengemukakan bantahan terhadap Amerika Syarikat (AS) selepas dua kapal perang AS berlayar di Selat Taiwan, sekali gus mencetuskan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.
Menurut Tentera Laut AS, kapal pemusnah USS Preble dan kapal bekalan, USNS Walter S. Diehl menjalankan rutin transit mengikut undang-undang antarabangsa semalam.
“Kapal-kapal itu melakukan transit melalui Selat Taiwan bagi menunjukkan komitmen AS terhadap kawasan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

“Tentera Laut AS akan terus menerbangkan, berlayar dan beroperasi di mana-mana sahaja selagi dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa,” ujar Tentera Laut AS dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Beijing melihat mana-mana kapal yang melalui selat tersebut telah melanggar kedaulatannya manakala AS dan negara lain melihat laluan terbabit sebagai perairan antarabangsa bebas. – AFP











