FAMA nafi berlaku lambakan harumanis - Utusan Malaysia

FAMA nafi berlaku lambakan harumanis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menafikan berlaku lambakan mempelam harumanis seperti didakwa pengusaha buah tersebut di Felda Mata Ayer, Padang Besar dekat sini.

Pengarahnya, Mohamad Paisal Amri berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan lambakan harumanis daripada pengusaha di negeri ini.

“Pusat operasi belian harumanis di FAMA negeri juga masih dibuka yang mana ia beroperasi setiap hari sejak 22 April lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, tidak timbul isu lambakan kerana kita mengalu-alukan pengusaha supaya menjual harumanis mereka terus kepada FAMA,” katanya kepada pemberita di FAMA negeri di sini hari ini.

Kata beliau, FAMA telah membeli sebanyak 25 metrik tan harumanis dan menyasarkan jumlah pembelian pada musim ini mencecah 100 metrik tan.

“Pembelian harumanis mengikut tiga gred iaitu premium, gred satu dan gred dua yang mana pembelian antara gred premium dan gred lain adalah seimbang.

“Dakwaan kononnya kami hanya beli buah gred premium sahaja adalah tidak benar kerana buah gred premium yang dibeli adalah pada tahap 46 peratus manakala gred satu dan dua masing-masing 28 dan 25 peratus,” ujarnya.

Tambahnya, harumanis yang dibeli itu akan dipasarkan melalui 39 pusat operasi FAMA di seluruh negara selain secara online.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis, Datuk Hashim Suboh turut menafikan berlaku lambakan harumanis pada musim ini.

“Saya tidak nampak berlaku lambakan kerana saya sendiri telah membeli 380 kilogram harumanis daripada pengusaha di Felda Mata Ayer untuk dipasarkan baru-baru ini,” katanya.

Kata beliau, pengerusi kelompok di kawasan felda itu juga memaklumkan bahawa bekalan harumanis seterusnya adalah pada 25 Mei ini.

“Saya beritahu akan bantu memasarkannya dan saya tidak tahu bagaimana isu lambakan ini boleh timbul,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini