Kuota matrikulasi: Tiada keperluan turunkan Maszlee - Utusan Malaysia

Kuota matrikulasi: Tiada keperluan turunkan Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang mendesak untuk menggulingkan jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

MUHAMMAD AZNUR SYAH AZMAN
MUHAMMAD AZNUR SYAH AZMAN 

Yang DiPertuanya, Muhammad Aznur Syah Azman berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Maszlee dan menjelaskan tiada keperluan untuk menteri itu menurunkan jawatan kerana telah menjalankan tanggungjawab dan amanahnya dengan baik.

Berikut adalah kenyataan penuhnya:

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya ingin menyatakan sokongan penuh saya sebagai Yang DiPertua MPP UiTM terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang mendesak untuk menggulingkan jawatan menteri.

Pada pandangan saya, tiada keperluan untuk menurunkan seseorang menteri yang telah menjalankan tanggungjawab dan amanahnya dengan baik. Seperti yang kita ambil maklum, pihak kementerian telah meningkatkan jumlah kemasukan ke dalam matrikulasi dan ini sekaligus menunjukkan peningkatan kemasukan bagi kaum bukan bumiputera.

Kita tidak boleh menafikan bahawa memang ada sesetengah majikan yang telah menetapkan syarat yang memang secara jelas menafikan kelayakan seseorang individu itu tidak kira kaum ataupun agama.

Sebagai seorang pemimpin politik, tidak sewajarnya bertindak seperti cacing kepanasan dan menyangkal perkara-perkara yang benar.

Saya akan menyokong mana-mana individu yang secara jelas dan berani menyatakan perkara yang benar-benar berlaku di dalam negara kita.

Inilah Malaysia baharu yang kita inginkan, perkara yang benar kita nyatakan, bukannya dinafikan.

Jika perkara yang dinyatakan oleh Dr. Maszlee adalah tidak benar, tiada sebab untuk mereka bertindak seperti seorang ahli pembangkang.

Jangan mempolitikkan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan di negara kita, bukan sahaja pendidikan Melayu Bumiputera, tetapi sistem pendidikan kita secara keseluruhan.

Berilah ruang dan peluang kepada Dr. Maszlee untuk mencorak semula sistem pendidikan kita.

Saya yakin dan percaya bahawa beliau mempunyai matlamat yang jelas dengan pelbagai inisiatif dan strategi dalam memberikan yang terbaik terhadap sistem pendidikan di negara kita dan perkara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Penglibatan mahasiswa atau pelajar melalui “Student Empowerment” dalam mencorak polisi pendidikan negara yang dilaksanakan oleh Dr. Maszlee merupakan salah satu contoh bahawa beliau sebenarnya mengambil kira pandangan daripada semua lapisan masyarakat.

Tiada guna berani di hadapan media tetapi tidak berani untuk berhadapan dengan mahasiswa Malaysia. Jangan risau, jangan khuatir kami mahasiswa daripada UiTM akan sentiasa bersama Dr. Maszlee. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini