KYPJ terima zakat BIMB - Utusan Malaysia

KYPJ terima zakat BIMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 23 Mei – Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) menerima zakat tahunan sebanyak RM10,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk disalurkan kepada penuntutnya yang merupakan golongan asnaf khususnya dalam kategori keluarga 40.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Serantau Cawangan Selatan BIMB, Abdullah Ibrahim kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Nasri Md. Ali dalam satu majlis berbuka puasa di sini semalam.

Nasri ketika berucap memberitahu, sumbangan zakat BIMB itu dapat meringankan bebanan para pentuntut KYPJ daripada keluarga B40 dalam menghadapi pengajian mereka di kolej yang bakal ditransformasikan menjadi Universiti Johor tidak lama lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemberian sumbangan wang zakat daripada pihak korporat sebagaimana BIMB ini mahupun individu sangat digalakkan dan dihargai oleh pengurusan KPYPJ kerana melalui pemberian ini dapat meringankan bebanan kewangan pelajar yang tidak berkemampuan terutama dalam menghadapi sesi pengajian dan kehidupan yang mencabar di kampus,” katanya berucap dalam majlis penyerahan zakat itu.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif KYPJ, Shahrim Adon dan Pengurus Besar KPYPJ, Abdul Razak Mohd. Saad.

Ketika ini katanya, pihak KPYPJ telahpun menubuhkan Tabung Amanah yang melibatkan pemotongan gaji warga kerjanya dan juga sumbangan daripada Menteri Besar Johor bagi membantu meringankan bebanan kewangan penuntut di kolej-kolej KPYPJ.

Beliau memberitahu, penubuhan tabung itu dibuat berdasarkan kajian dalaman menunjukkan sebanyak 35 peratus pelajar di kolej-kolej KPYPJ berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah dan memerlukan pembelaan.

Katanya, sehingga 31 Disember lalu sebanyak RM38,205 telah disumbangkan warga kerja KPYPJ kepada tabung berkenaan dengan Kolej YPJ sahaja mencatatkan pemotongan gaji sebanyak RM18,795.

Nasri turut berharap agar sumbangan zakat pihak BIMB itu dapat diteruskan pada masa depan bagi membolehkan kedua-dua belah pihak berganding bahu menceriakan kehidupan penuntut yang memerlukan di kampus KYPJ. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini