SUNGAI PETANI 23 Mei – Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan di sini, mencipta sejarah apabila bakal menyertai Persidangan Alam Sekitar Sekolah-Sekolah Peringkat Dunia 2019 di Finland.
Muhammad Shahrul Najmie Mohd. Suhaimi, 15, akan bertolak ke negara itu pada Selasa ini dan singgah di Jerman pada keesokan harinya sebelum menyertai persidangan itu yang bermula pada 30 Mei.
Lebih membanggakan, pelajar harapan di sekolahnya itu juga antara 100 pelajar dari 100 buah negara di dunia yang akan menandatangani resolusi baharu sekolah-sekolah terhadap perubahan iklim.
“Resolusi itu kemudian akan diserahkan kepada Perdana Menteri Finland,” kata Muhammad Shahrul Najmie ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kelengkapan Persediaan Ke Finland di di Surau SMK Teloi Kanan di sini, hari ini.
Muhammad Shahrul Najmie yang tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira itu akan ditemani seorang guru, S. Kalaimani sepanjang berada di negara tersebut.
Yang turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Marzuki Daud dan Pengetua SMK Teloi Kanan, Rozlan Hamat.
Sementara itu, ibu Muhammad Shahrul Najmie, Siti Hasnah Awang Su, 37, berkata, dia tidak menyangka anaknya yang selama ini berminat menanam kucai dan bayam bersama-sama neneknya, Minah Ahmad, 66, terpilih menyertai program di negara berkenaan.
“Saya bersyukur dan berharap Muhammad Shahrul Najmie dapat membuat yang terbaik demi nama baik negara dan sekolahnya sendiri di persada antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











