KUALA LUMPUR 23 Mei – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa kedua yang dijadualkan pada bulan ini dilakukan secepat mungkin.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, hal itu memandangkan sudah berada pada penghujung bulan ini dan di saat majoriti rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada awal bulan depan.
Katanya, sememangnya pembayaran BSH pada bulan ini sekurang-kurangnya akan meringankan beban rakyat yang memerlukan.
“Adakah kerajaan lupa tentang janji pembayaran BSH kepada rakyat pada bulan ini atau adakah kerajaan pura-pura lupa dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal dipersalahkan lagi?
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu ingat masih berbaki tujuh hari lagi untuk membuat pembayaran BSH kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











