KUALA LUMPUR 23 Mei- Kehilangan pasangan suami isteri warga Indonesia yang maut dalam runtuhan struktur bangunan Terminal Bas Bersepadu Gombak, Taman Melati di sini hanya disedari selepas mereka gagal dihubungi oleh rakannya.
Rakan pasangan terbabit, Heru Susiawan, 37, berkata, sejurus selepas kejadian, Alias serta isterinya, Ima, tidak dapat dikesan dan dia cuba menghubungi mereka namun gagal sebelum memaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 9.30 pagi, hari ini.
Katanya, dia sempat minum bersama Alias di sebuah kedai kopi berhampiran sebelum dia dilihat naik ke lokasi kejadian bersama isterinya pada pukul 11.30 malam, semalam.
“Mereka memang suka duduk di atas sana jadi apabila mereka gagal dikesan sehingga pukul 9 pagi tadi, gerak hati saya kuat mengatakan mereka mungkin terperangkap.
“Alias dan Ima kedua-duanya berasal dari Indonesia dan telah bekerja di tapak pembinaan ini sejak setahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.
Dalam pada itu, menurut Heru, semasa kejadian, dia yang ketika itu berada dalam rumahnya berhadapan bangunan itu sedang berehat sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.
Katanya, dia tidak menyangka struktur bangunan yang dalam pembinaan itu runtuh dalam sekelip mata.- UTUSAN ONLINE











