KUALA LUMPUR 23 Mei – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan seluruh kerabat Diraja Pahang diberi ketabahan dan kekuatan bagi menempuhi ujian kehilangan Sultan Ahmad Shah.
Jelasnya, beliau yang sempat memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Ahmad Shah turut berdukacita di atas kemangkatan Almarhum baginda.
“Alhamdulillah, sempat ke Istana Abu Bakar, Pekan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
“Patik berdoa semoga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh kerabat Diraja Pahang diberi ketabahan dan kekuatan bagi menempuhi ujian kehilangan insan yang tersayang.
“Patik dan seluruh rakyat jelata pastinya berdukacita atas pemergian Almarhum Paduka Ayahanda dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Almarhum Paduka Ayahanda ditempatkan bersama-sama dengan para Anbia, syuhada, dan solihin,” kata beliau menerusi laman Instagram miliknya hari ini. – UTUSAN ONLINE











