Lambakan harumanis kerana bulan puasa - Saifuddin - Utusan Malaysia

Lambakan harumanis kerana bulan puasa – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Masalah lambakan mangga harumanis di Perlis pada waktu ini berkemungkinan berikutan musim tuai buah-buahan itu berlaku pada bulan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Namun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, harga buah yang menjadi ikon negeri di utara tanah air itu masih belum jatuh.

Katanya, dalam isu ini, ia lebih kepada tekanan pasaran serta permintaan dan penawaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau malah memberitahu, harumanis bukannya tanaman yang berbuah sepanjang tahun.

“Jadi, kalau ada beri sedikit peluang untuk pekebun dan peniaga harumanis mendapat keuntungan. Berilah pulangan kepada petani.

“Saya difahamkan, musim harumanis itu jatuh pada sekarang ini bulan Ramadan. Saya juga difahamkan antara lokasi yang paling tinggi di Universiti Malaysia Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran semula wajah baharu Pasar Raya Besar Giant Batu Caves di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan GCH Retail Malaysia, Pierre Olivier Deplank dan Pengurus Cawangan Pasar Raya Besar Giant Batu Caves, M.Jeffrey Suresh.

Beliau mengulas mengenai rintihan kira-kira 70 pengusaha harumanis di Felda Mata Ayer, Perlis yang resah kerana hasil tanaman mereka dikhuatiri bakal mengalami lambakan sehingga mencecah 10 tan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Lambakan tersebut menyebabkan pengusaha tanaman kelompok di kawasan seluas 51.47 hektar itu, dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM280,000 iaitu hanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu lagi.

Lebih memburukkan keadaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dikatakan tidak dapat membeli dan memasarkan kesemua buah daripada pekebun, sebaliknya hanya mengambil yang berkualiti premium sahaja.

Tambah Saifuddin Nasution, beliau difahamkan bahawa FAMA membeli mangga harumanis pada harga RM25 sekilogram.

“Harga jualan sampai RM29 sekilogram. Yang paling penting ketika lambakan ini berlaku, ia harga munasabah untuk Harumanis,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini