KUALA TERENGGANU 23 Mei – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu membayar faedah berjumlah RM27,000 kepada 10 penerima sempena Majlis Iftar Ramadan di Pejabat Perkeso negeri di sini semalam.
Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Hussin berkata, daripada jumlah itu, lima orang menerima faedah Penangkat (PKT), tiga orang menerima faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) dan dua orang menerima faedah Pengurusan Mayat (FPM).
“Pihak kami sentiasa meluaskan jaringan keselamatan sosial serta sentiasa meluaskan faedah untuk diberikan kepada pencarum di seluruh negeri.
“Malah penubuhan Skuad Cakna Perkeso antaranya untuk membantu mengenalpasti pencarum yang ditimpa bencana mendapat perhatian dan bantuan segera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan di Pejabat Perkeso di sini, semalam. Yang turut hadir, Timbalannya, Norihan Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat sekeliling turut membantu Perkeso untuk memastikan pencarum mendapat hak mereka.
Menurut beliau, sejak Januari hingga April lalu, Perkeso negeri telah membayar pelbagai faedah berjumlah RM6.057 juta di seluruh negeri. – UTUSAN ONLINE











