LAUSANNE, Switzerland 23 Mei – Rancangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menambah jumlah pasukan yang layak bertanding kepada 48 pada pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya ia memberi tamparan hebat kepada presiden FIFA, Gianni Infantino yang begitu beria-ia mahu melaksanakannya dengan terburu-buru kerana ia turut tidak mendapat sokongan ahli jawatankuasanya sendiri.
Ini bermakna Piala Dunia 2022 nanti kekal 32 pasukan seperti sebelumnya, kata FIFA yang memberi alasan bahawa masa belum sesuai untuk melaksanakannya secepat mungkin selain masih perlu kajian lebih mendalam dilakukan.
“Buat masa ini (pertandingan itu) kekal 32 pasukan dan tiada kertas cadangan mengenai perubahan itu akan diserah kepada Kongres FIFA yang akan bermesyuarat 5 Jun ini,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, penambahan jumlah pasukan ini adalah projek perintis Infantino kerana percaya ia boleh menjana pendapatan tambahan sebanyak AS$300 juta (RM1.26b) hingga AS$400 juta (RM1.68b) kepada FIFA.
Ini termasuk menerusi hak penyiaran, hak pemasaran dan jualan tiket yang dijangka meningkat permintaannya. – AFP











