MAQIS rampas 5 ekor ayam sabung, 293kg daging sejuk beku seludup - Utusan Malaysia

MAQIS rampas 5 ekor ayam sabung, 293kg daging sejuk beku seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 23 Mei – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terus mencatatkan kejayaan dalam operasi penguatkuasaan undang-undang membanteras penyeludupan produk pertanian ke dalam negara.

Dalam operasi di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam, jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas lima ekor ayam sabung dianggarkan bernilai RM2,500 yang cuba dibawa masuk tanpa dokuman yang sah ke negara ini.

Jelas MAQIS, rampasan dibuat di laluan kereta di kompleks berkenaan di mana pihaknya mendapati seorang warganegara tempatan cuba menyeludup masuk ayam berkenaan dari negara jiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], semua produk keluaran pertanian yang diimport di bawah kawalan Akta MAQIS memerlukan permit import dan mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Pihak kerajaan tidak memberi kebenaran mengimport unggas hidup seperti ayam sabung dari Thailand kerana penilaian risiko perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kebenaran kemasukan unggas tersebut boleh dikeluarkan. Unggas hidup berisiko membawa penyakit unggas atau zoonotik seperti Selsema Burung Berpatogenik Tinggi (HPAI) yang merbahaya kepada industri ternakan ayam negara dan mengancam kesihatan manusia,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut jabatan itu, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didakwa di bawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam satu lagi operasi di Johor Bahru kelmarin, MAQIS merampas sebanyak 19 kotak daging lembu sejuk beku dianggarkan seberat 293 kilogram bernilai RM7,325 dipercayai dari Amerika Syarikat yang cuba dibawa masuk tanpa dokumen sah melalui Tambak Johor.

Jelasnya, rampasan dibuat di laluan kereta import/masuk ke Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar kira-kira pukul 5 petang kelmarin oleh unit operasi eksport membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dari Singapura.

“Kesemua konsainan tersebut ditemui diletakkan di tempat penyimpanan barang di bahagian belakang kereta, di bahagian penumpang tempat duduk bahagian hadapan dan belakang kereta/pengangkut tersebut. Kesemua barang konsainan karkas dan kenderaan pengangkut tersebut telah ditahan dan disita oleh Jabatan MAQIS untuk tujuan siasatan lanjut,” jelasnya.

Menurut MAQIS, penyeludupan karkas boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna, pemborong serta pengusaha ternakan tempatan melalui penyebaran wabak penyakit dari luar negara sama ada kepada manusia atau haiwan.

“MAQIS sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang masuk ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini