KUALA LUMPUR 22 Mei – Brahim’s Holding Bhd. bercadang membekalkan hidangan sejuk (chill meal) kepada pasar raya di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan sumber pendapatan kumpulan menerusi segmen perniagaan bukan penerbangan.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan katering dalam pesawat yang ketika ini mengeluarkan 45,000 hidangan setiap hari berbanding kapasiti optimum 65,000 hidangan setiap hari.
Bagaimanapun, katanya, konsep makanan itu masih baru di Malaysia walaupun terdapat beberapa kedai serbaneka sudah mula menjualnya.
“Berbeza di negara-negara Eropah, Australia dan New Zealand, ia amat popular kerana mereka gemar kepada konsep makanan yang segar, berkhasiat dan mudah disediakan.
“Jadi, kita akan cuba terokai hidangan ini, walaupun ia mengambil masa, namun kita yakin pasarannya terbuka luas. Malah, ia adalah berbeza dengan hidangan sejuk beku (frozen food),” katanya di sini baru-baru ini.
Segmen perniagaan bukan penerbangan Brahim’s ketika ini hanya menyumbang sekitar satu hingga dua peratus sahaja kepada perolehan syarikat dan Brahim’s mempunyai perancangan untuk meningkatkan segmen berkenaan dua kali ganda dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Brahim’s menerusi anak syarikatnya, Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. (BSFS) menyediakan perkhidmatan untuk 33 syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Malaysia Airlines, AirAsia X, Qatar Airways, Emirates, Turkish Airlines, EVA Air, Cathay Pacific dan British Airways.
Menurut Ibrahim, mengembangkan segmen perniagaan bukan penerbangan bukan sesuatu yang mudah sebaliknya ia mengambil masa lama sebelum mencapai tahap perkembangan optimum.











