LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Roberto Firmino semakin hampir untuk cergas sepenuhnya menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Tottenham Hotspur selepas kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan.
Pada tiga aksi terakhir Liga Perdana England (EPL), pemain antarabangsa Brazil itu tidak dapat diturunkan apabila dia mengalami kecederaan pada bahagian paha.
Bagaimanapun, dia dilihat sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukan, sekali gus berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan akhir menentang Spurs di Stadium Wanda Metropolitano.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp pastinya menagih sentuhan Firmino pada perlawanan akhir itu dalam usaha untuk membawa pulang gelaran Liga Juara-Juara keenam selepas kali terakhir melakukannya pada 2005 menewaskan AC Milan.
“Roberto Firmino sudah turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan selepas pulih daripada kecederaan otot yang menyaksikan dia tidak dapat beraksi pada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Kami mengesahkan Firmino sudah mengikuti sesi latihan pertama pasukan, namun dia masih bekerja keras untuk kembali cergas sepenuhnya. Pasukan perubatan akan memantau perkembangan Firmino sebelum aksi final,” kata kelab tersebut menerusi kenyataan rasmi.
Dalam pada itu, pemain tengah, Naby Keita juga masih mengikuti proses rawatan pemulihan selepas mengalami kecederaan pangkal paha yang serius tiga minggu lalu. – Agensi











