PLOUGASTEL-DAOULAS, Perancis – Pihak pentadbiran sebuah pekan kecil di sini menawarkan ganjaran €2,000 (RM9,340) kepada sesiapa yang mampu menterjemahkan tulisan teks misteri pada permukaan bongkah batu di wilayah Brittany, Perancis baru-baru ini.
Akhbar Daily Mirror dalam laporannya menyatakan bongkah batu itu ditemui di pesisir pantai ketika air surut dekat pekan Plougastel-Daoulas kira-kira empat tahun lalu. Bagaimanapun, penduduk tempatan gagal memahami bahasa yang ditulis padanya.
“Ada pihak memberitahu teks itu merupakan bahasa Basque, ada yang kata bahasa purba Breton. Kami masih tidak mampu merungkai makna ayat-ayat pada batu itu,” kata Datuk Bandar Plougastel-Daoulas, Dominique Cap.
Sebahagian besar teks ditulis dalam huruf besar bersama dua tarikh iaitu 1786 dan 1787. – Agensi











