Jenazah Sultan Ahmad Shah tiba di Istana Abu Bakar - Utusan Malaysia

Jenazah Sultan Ahmad Shah tiba di Istana Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN 22 Mei – Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah tiba di Istana Abu Bakar di sini pada pukul 8.45 malam ini.

Terdahulu, jenazah Almarhum dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan dekat sini dan tiba di situ pada pukul 7.17 petang ini.

Antara yang mengiringi jenazah Almarhum ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultanah Kalsom.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerabat diraja termasuk Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kelihatan berada di Istana Abu Bakar menyambut ketibaan jenazah Almarhum.

Jenazah baginda akan disemayamkan di Balairung Seri Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir yang mana bagi orang kenamaan, sultan dan raja-raja bermula pukul 11 pagi esok manakala orang ramai pula bermula malam ini hingga pagi esok.

Rakyat dibenarkan untuk melakukan solat jenazah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah di balairung tersebut.

Selepas penghormatan terakhir esok, jenazah Almarhum akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di sini yang terletak bersebelahan Makam Diraja.

Solat jenazah akan diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman sebelum jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dimakamkan selepas Zuhur esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini