Perginya Sultan berjiwa rakyat - Utusan Malaysia

Perginya Sultan berjiwa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALMARHUM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah yang mangkat pada usia 88 tahun semalam akan dikenang sebagai seorang raja pemerintah berjiwa rakyat dengan sifat adil, bijaksana, prihatin dan penyayang.

Sepanjang 45 tahun bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Pahang, nama Sultan Haji Ahmad Shah harum meniti di bibir rakyat ekoran sikap Almarhum yang sering mendahulukan kepentingan mereka terutama ketika dilanda musibah atau kesusahan.

Sejarah hidup Almarhum yang berkarakter mesra, prihatin, sederhana, pengasih dan tegas bermula apabila diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan pada 24 Oktober 1930.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Clifford, Kuala Lipis sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak ketika era pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941.

Ketika berusia 14 tahun, baginda ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Selepas pertabalan itu, Sultan Haji Ahmad Shah melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford, England pada 1948.

Almarhum juga mengikuti Pengajian Kerajaan Tempatan di University College, Exeter, Devon, England dan menjalani latihan amali di Urban District Council di Sidmouth selama tiga tahun.

 

BERKHIDMAT DENGAN RAMD

Sekembali dari England, baginda menyertai angkatan tentera sebagai pelatih pegawai kadet di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Almarhum bersama 116 pelatih lain menjalani latihan selama enam bulan di situ sebelum berjaya menamatkan kursus bersama hanya 13 pelatih.

Selepas tamat latihan, Almarhum kembali semula ke England mengikuti kursus Akademi Tentera Diraja Sandhurst sebelum kembali ke tanah air dan berkhidmat dengan Batalion Ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tapah, Perak dengan pangkat Kapten.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah pernah berkhidmat dengan Askar Wataniah sebagai pegawai sukarela berpangkat Mejar.

Pada April 1954, baginda mengahwini Almarhum Tengku Ampuan Pahang, Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mana majlis perkahwinan diraja itu diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Kuala Lipis. Menerusi perkahwinan itu, pasangan diraja tersebut dikurniakan lima puteri dan dua putera.

Pada 7 Mei 1974, baginda dilantik sebagai Sultan Pahang Kelima selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Sultan Abdullah.

Istiadat pertabalan rasmi baginda sebagai Sultan Pahang dilangsungkan di Istana Abu Bakar, Pekan pada 6 Mei 1975. Baginda kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan memerintah negara dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Sebagai seorang yang dianggap sebagai ‘bapa’ kepada rakyat jelata di negeri naungannya, Sultan Haji Ahmad Shah tidak pernah lokek memberi teguran, saranan, peringatan atau membuat seruan dalam majlis-majlis baginda hadiri demi pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat yang meliputi segala aspek.

Umpamanya, semasa bertitah dalam sesi pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Kali Ke-13 di Wisma Negeri pada Mei tahun lalu (2016), baginda mahu setiap rancangan pembangunan mengutamakan aspek pemuliharaan alam sekitar agar khazanah semula jadi itu terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

PRIHATIN KEBAJIKAN RAKYAT

Keprihatinan Almarhum terhadap kebajikan rakyat atas rasa kecintaan dan kasih kepada mereka. Sebut sahaja di mana ada rakyat ditimpa kesusahan dan bencana, baginda pasti antara terawal tiba berangkat menziarahi mereka tanpa mengira waktu.

Selain mengarahkan sesuatu bantuan dipercepatkan, baginda sendiri tidak lokek menghulurkan ‘wang saku’ bagi meringankan beban rakyat yang ditimpa kesusahan.

Semestinya masih segar dalam ingatan apabila baginda mencemar duli melawat kawasan Lembah Bertam di Cameron Highlands yang terjejas akibat banjir kilat pada hujung 2014.

Almarhum secara khusus memberi perhatian terhadap isu yang melanda tanah tinggi berkenaan dan menzahirkan kemurkaan serta rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram bagi tujuan pertanian.

Baginda menyifatkan kegiatan tersebut sebagai penyakit melarat turut menitahkan supaya semua aktititi tersebut dihentikan segera.

Begitu juga dalam bidang pendidikan dan kesihatan apabila Sultan Haji Ahmad Shah berkenan merasmi atau melancarkan prasarana serta program yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Sokongan baginda dalam aspek berkenaan dapat dilihat apabila Alamrhum berkenan merasmikan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di kampus universiti itu di Indera Mahkota di Kuantan yang menjadi pelengkap perkhidmatan kesihatan awam menerusi kepakaran berkaitan ditawarkan pusat berkenaan.

FAM

Satu lagi contoh adalah baginda berkenan melancarkan program inisiatif saluran sumbangan Universiti Malaysia Pahang (UMP), MyGift UMP yang diperkenalkan sebagai inisiatif saluran sumbangan bagi tujuan tajaan pelajaran dan penyediaan kemudahan prasarana untuk meningkatkan mutu pembelajaran sedia ada.

Dalam bidang pendidikan Islam, Almarhum mempelopori penubuhan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) di Kuantan pada 2000 manakala dalam sukan, baginda tidak boleh dipisahkan dengan bola sepak.

Almarhum dipilih menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1984 sehingga 2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002 serta Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011.

Pendek kata, kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan rakyat berbilang kaum menjadi agenda utama Almarhum dalam segala urusan pentadbiran negeri. Maka tidak hairanlah pemerintahan baginda mendapat sanjungan rakyat.

Malah baginda turut didaulatkan di persada antarabangsa antaranya dengan penglibatan kepemimpinan dalam persatuan sukan.

Almarhum memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

Nyata frasa ‘Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada’ amat bertepatan dengan sikap dan perwatakan Sultan Haji Ahmad Shah yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat jelata sepanjang pemerintahan baginda.

Almarhum yang berwajah tegas tetapi berhati emas akan terus dikenang sebagai seorang raja yang benar-benar berjiwa rakyat. Al-Fatihah!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini