BESUT 22 Mei – Sikap tolong menolong dan saling membantu bukan hanya terbatas pada wang, tenaga dan waktu tetapi yang lebih utama, ia dapat membantu meringankan apa saja beban penerimanya.
Apa yang penting ada pihak yang akan memperolehi manfaat daripada bantuan yang dihulurkan sekali gus mampu mewujudkan suasana harmoni, sejahtera dan persefahaman dalam mayarakat.
Atas kesedaran itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Keluang di sini berusaha mengumpulkan bantuan daripada warga sekolah itu untuk disumbangkan kepada keluarga murid miskin dan kurang berkemampuan.
Semalam, 70 keluarga pelajar dijemput ke sekolah itu dan mereka dirai serta menerima barangan berupa beras, minyak masak, gula, susu dan Sunkist yang bernilai kira-kira RM100 setiap orang.
Guru Besar sekolah berkenaan, Wan Ahmad Hasbi Wan Jusoh berkata, walaupun sumbangan yang dihulurkan oleh murid agak kecil namun ianya cukup bermakna dan tetap bermanfaat apabila dikumpulkan.

Katanya, sejak dikumpulkan bermula hari pertama Ramadan, lebih RM5,000 diterima daripada guru, murid dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membeli makanan keperluan asas sebelum diagihkan.
“Walaupun kali pertama diadakan, respons yang kita terima amat memberangsangkan dan kemungkinan akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











