Bendera Perak dikibar separuh tiang - Utusan Malaysia

Bendera Perak dikibar separuh tiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta rakyat di negeri ini berdukacita menerima berita kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri Perak, beliau merafak sembah takziah ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultanah Hajah Kalsom Abdullah serta kerabat diraja Pahang.

Ahmad Faizal berkata, Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah telah meninggalkan terlalu banyak jasa sebagai Sultan Pahang kelima dan Yang di-Pertuan Agong ketujuh kepada negara, negeri dan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai seorang sultan yang terkenal dengan ungkapan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’, almarhum telah meninggalkan legasi dalam pelbagai bidang merangkumi agama, pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, budaya, sosial, kebajikan dan sukan.

“Baginda terkenal sebagai seorang sultan yang sentiasa mesra dan senang mendekati rakyat jelata. Semasa hayat, baginda memenuhi peranan raja berperlembagaan, menjadi payung naungan yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama untuk hidup dalam kerukunan lagi harmonis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kemangkatan almarhum bukan sahaja satu kehilangan besar buat rakyat di Pahang tetapi turut dirasai dalam kalangan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, sebagai tanda bersedih dan berdukacita, Sultan Nazin telah menitahkan agar semua bendera di negeri ini dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat pemakaman almarhum.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama roh para solihin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini