JOHOR BAHRU 22 Mei – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Johor-Pontian awal pagi tadi.
Menurut Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zamry Sukarseh, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.31 pagi sebelum menggerakkan sepasukan empat anggota dengan sebuah jentera dari BBP Pontian.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 40-an yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa wanita mengalami kecederaan.
“MPV yang dinaiki tiga orang itu dalam perjalanan dari arah Pontian menghala ke Johor Bahru sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak hospital. Tiada identiti mangsa dijumpai di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada pukul 3.43 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











