Perak kaji kesan projek tambakan laut terhadap nelayan, sumber marin - Utusan Malaysia

Perak kaji kesan projek tambakan laut terhadap nelayan, sumber marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Mei – Kerajaan negeri akan mengkaji kesan cadangan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) terhadap nelayan dan sumber marin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan yang melibatkan jabatan dan agensi yang berkaitan, pakar-pakar dari universiti tempatan serta penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perbincangan dua hala di antara kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang juga mungkin akan diadakan bagi meneliti isu ini dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin sebelum ini berkata, aktiviti projek PSR di Pulau Pinang akan menyebabkan berlakunya perlombongan pasir di dasar laut yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan di kawasan Tanjung Piandang sehingga ke Manjong, Perak.

Abdul Yunus berkata, kerajaan negeri menerima maklum balas dan meneliti pandangan semua pihak termasuk NGO yang membantah projek tambakan laut itu.

Menurutnya, projek tersebut dikatakan akan turut menjejaskan kawasan utara Perak khususnya di Tanjung Piandang dan Bagan Tiang yang mana akan berlaku hakisan terhadap hutan paya bakau di kawasan yang berkenaan.

“Kesan dari aktiviti perlombongan pasir di dasar laut Tanjung Piandang pula akan menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan tempatan khususnya nelayan pantai,” katanya.

Menurutnya, beliau telah berhubung dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Jelas beliau, LKIM menyatakan tiada sebarang perbincangan dengan mana-mana persatuan nelayan di Perak atau kumpulan nelayan yang mungkin terjejas akibat PSR.

“LKIM negeri tidak menolak sebarang pembangunan yang memberi impak positif namun nasib para nelayan di negeri ini perlu dibela dan dijamin kesejahteraan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini