Pembantu kedai makan didakwa miliki 153 kg karkas lembu - Utusan Malaysia

Pembantu kedai makan didakwa miliki 153 kg karkas lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 22 Mei – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebanyak 153 kilogram (kg) karkas lembu yang tiada tanda selar dan perakuan kesihatan veterinar dan kebenaran sembelih daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Zairi Awang Hamat, 31, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pasar Borong Pandan, Jalan Pandan Ria Utama, Pusat Perdagangan Pandan, di sini pada pukul 11.10 pagi, 3 April lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi perbuatan itu, pembantu kedai makan itu didakwa melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kaedah 17 (pindaan) 2018, kaedah yang sama dengan denda tidak melebihi RM10,000, jika disabit kesalahan.

Mohd. Zairi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan anak seramai empat orang dengan gaji harian sebanyak RM40 sehari.

Mahkamah memerintah tertuduh dikenakan hukuman denda berjumlah RM700.

Mengikut fakta kes, pembantu veterinar bersama-sama dua anggota daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri membuat pemeriksaan ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Commonrail di Pasar Borong Pandan, bulan lalu.

Pemeriksaan itu mendapati tertuduh memiliki sebanyak 153kg karkas lembu yang tiada tanda selar dan Perakuan Kesihatan Veterinar atau perakuan kebenaran sembelih oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri atau pegawai yang diberi kuasa olehnya. – UTUSAN ONLINE

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini