Polis pergiat operasi kesan pemandu mabuk - Utusan Malaysia

Polis pergiat operasi kesan pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 22 Mei – Polis akan meningkatkan kekerapan sekatan jalan raya bagi mengesan pengguna jalan raya yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal ketika di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta kemalangan jiwa.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar memandang serius gejala itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih serius bagi mengesan golongan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ di daerah ini yang sering menjadi laluan pengguna jalan raya memandu melebihi had alkohol yang ditetapkan.

“Malah, sekiranya orang ramai ada sebarang maklumat mengenai perkara ini bolehlah menyalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Rozi berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Sultanah Bahiyah, malam tadi.

Katanya, lelaki tersebut memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum diminta berhenti untuk pemeriksaan lanjut oleh anggota polis yang bertugas.

“Setelah ujian pernafasan dijalankan ke atas lelaki tersebut dengan menggunakan alat yang telah dibekalkan, keputusan menunjukkan pemandu kenderaan itu positif alkohol yang melebihi had ditetapkan.

“Pemandu tersebut telah dibawa ke BSPTD Kota Setar untuk dikenakan tindakan selanjutnya dan ditahan di bawah Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini