Gesaan Ahmad Zahid terus bercuti pandangan peribadi - Utusan Malaysia

Gesaan Ahmad Zahid terus bercuti pandangan peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 20 Mei – Gesaan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti daripada jawatan itu hanya pandangan peribadi, bukannya mewakili suara akar umbi UMNO.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di peringkat sayap itu juga, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan.

Malah, kata beliau, isu sama ada Ahmad Zahid perlu kembali semula atau sebaliknya juga tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan Ahmad Zahid masih lagi Presiden parti dan hanya bercuti daripada jawatan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu hanya pandangan peribadi, bagi Pemuda adalah baik kita tumpukan kepada isu yang lebih utama ketika ini iaitu kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ketika ini, banyak janji-janji yang dibuat PH gagal dilaksanakan seperti isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN) yang menimbulkan kemarahan orang muda;kos sara hidup yang meningkat, bantuan yang tidak diterima oleh golongan petani dan peladang serta banyak lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyertai kira-kira 50 ahli Pemuda UMNO negeri ini dalam program mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di Bertam Indah, di sini petang tadi.

Dalam program yang turut disertai Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada orang.

Asyraf Wajdi mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang hari ini yang menyarankan Ahmad Zahid terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai Presiden parti itu.

Dakwa Maulizan, langkah itu perlu susulan wujud gerakan daripada penyokong Ahmad Zahid yang mahu membawa balik beliau daripada bercuti dan mengambil semula tugas sebagai Presiden UMNO.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menambah, gesaan itu juga tidak sepatutnya timbul ketika ini sewaktu UMNO dilihat tidak mempunyai sebarang isu dalaman.

Sementara itu Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, ahli UMNO perlu memahami keputusan Ahmad Zahid bercuti daripada jawatan Presiden dulu adalah bagi memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya.

Malah, kata beliau, perjalanan parti juga berlangsung dengan baik sepanjang kira-kira lima bulan di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan yang menjalankan kerja-kerja Presiden sekali gus tidak sepatutnya dipersoalkan.

“Adalah lebih baik kita tumpukan usaha memperkuatkan parti UMNO yang kini semakin baik termasuk dengan meningkatkan lagi kerjasama dengan Pas kerana kita perlu menjadi suara yang boleh menghalang lebih banyak kerosakan di bawah Kerajaan PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini