Bantah garis panduan baharu industri sarang burung walit - Utusan Malaysia

Bantah garis panduan baharu industri sarang burung walit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 20 Mei – Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia membantah garis panduan piawaian bagi industri sarang burung walit yang diperkenalkan di Pulau Pinang pada 15 Mei lalu.

Presidennya, Allen Tan Swee Meng berkata, garis panduan itu walaupun cuma diguna pakai di Pulau Pinang boleh mengelirukan pengusaha sarang burung walit di seluruh negara dan membunuh industri berkenaan.

“Piawaian yang terkandung dalam garis panduan itu tidak munasabah dan mustahil dapat dilaksanakan oleh pengusaha kerana ia amat menyukarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami yang mempunyai seramai 10,000 ahli termasuk di Pulau Pinang membantah garis panduan ini dan berharap ia tidak akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini dilaporkan melancarkan buku Garis Panduan Seragam Sarang Burung Walit Mentah untuk Dagangan (Garuda) Edisi Pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin dipetik berkata, garis panduan itu merupakan rujukan seragam untuk industri sarang burung walit di negeri berkenaan.

Swee Meng berkata, antara piawaian yang mustahil dapat dilaksanakan oleh pengusaha sarang burung walit seperti yang terkandung dalam garis panduan baharu itu berkenaan kandungan nitrit dalam sarang burung.

Jelasnya, sebelum ini tiada piawaian ditetapkan tentang kandungan nitrit dalam sarang burung walit mesti bawah 30 part per million (ppm) kerana sarang burung walit yang dieksport adalah sarang burung mentah.

Selain itu, kata beliau, piawaian itu menetapkan tahap kelembapan sarang burung walit dieksport mesti tidak melebihi 11 peratus sedangkan garis panduan sedia ada menetapkan tidak melebihi 15 peratus.

“Garis panduan untuk industri ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu. Kami tidak tahu mengapa garis panduan baharu itu perlu diperkenalkan di Pulau Pinang.

“Kami bimbang jika tidak dibantah ia kemudian digunakan di negeri lain pula sekali gus membunuh industri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini