JOHOR BAHRU 20 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pelucutan hak terhadap harta bernilai kira-kira RM1.58 juta milik bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi dan ahli keluarga.
Mahkamah mengarahkan harta-harta yang disita itu dikembalikan kepada pemilik asal atau yang berdaftar melibatkan enam buah kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi, 19 jam tangan berjenama mewah serta wang asing daripada Singapura, Hong Kong dan Kuwait serta wang tunai berjumlah RM406,000 milik syarikat Ahmad Fauzan Hatim.
Permohonan perlucutan harta itu dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya Mahadi Abdul Jumaat bagi pertuduhan terhadap Abdul Latif bersama-sama anaknya dan seorang perunding hartanah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta, pada April dua tahun lalu.
Mahadi memohon pelaksanaan perintah di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi yang akan difailkan dalam masa terdekat.
Hakim Kamaruddin Kamsun kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan bagi mengembalikan harta serta memerintahkan rayuan permohonan itu boleh dibuat dalam tempoh 14 hari.
“Permohonan rayuan boleh dibuat dalam tempoh 14 hari. Sekiranya tiada permohonan dikemuka, aset berkenaan akan dipulang kepada pemilik berdaftar.
“Responden (yang terdiri daripada pihak bank) boleh membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kereta yang disita dikembalikan dengan sejumlah bon cagaran bergantung kepada budi bicara,” katanya.
Pada prosiding berkenaan, Abdul Latif dan ahli keluarganya diwakili oleh peguam Abd. Rahim Ali.
Sebelum ini, Abdul Latiff yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau dilepas dan dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah dua tahun lalu pada 21 April lalu.
Pendakwaan tersebut melibatkan beliau bersama-sama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub membabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Pada 19 April 2017, ahli politik itu bersama-sama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan melibatkan nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen di sini. – UTUSAN ONLINE











