KUALA LUMPUR – Penglibatan dua lelaki warga tempatan dengan sindiket penjualan rokok seludup di kawasan Pontian dan Cahaya Baru Masai, Johor, akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi semalam.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki berusia 50 dan 58 tahun yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM184,560 itu dibuat selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan mereka.
“Susulan maklumat awam yang diterima, sepasukan anggota telah melakukan pemerhatian ke atas sebuah kereta jenis Nissan Slyphy di Jalan Cahaya Baru Masai kira-kira pukul 7.20 pagi dan mengekori kenderaan tersebut hingga ke sebuah rumah di Kampung Baru Kangkar, Pulai.
“Anggota bertugas kemudiannya menghampiri kedua-dua suspek yang dilihat memunggah beberapa buah kotak ke dalam kereta berkenaan dan hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 200 karton rokok pelbagai jenis yang dipercayai rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Ghani, pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah tersebut turut menemui lagi sejumlah rokok juga dipercayai rokok seludup yang di simpan di bilik belakang.
“Soal siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua supek telah membawa anggota bertugas ke sebuah lagi rumah di Jalan Intan 2, Taman Cahaya Masai yang turut dijadikan sebagai stor untuk menyimpan rokok seludup.
“Pemeriksaan yang dilakukan telah menemui lagi sejumlah rokok disyaki rokok seludup pelbagai jenis yang disimpan di bahagian ruang tamu dan kami turut merampas kenderaan suspek berserta lapan anak kunci menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM184,560,” jelas beliau.
Tambah Abdul Ghani, kedua-dua lelaki berkenaan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE











