KUALA LUMPUR 20 Mei – Undang-undang yang lebih komprehensif dan tegas diperlukan bagi menangani isu pemburuan haram di negara ini.
Aktivis haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu perlu diambil kerana bilangan spesies haiwan liar di negara ini semakin berkurangan termasuk kawasan yang dilindungi akibat pemburuan haram serta penerokaan hutan.
“Keputusan kerajaan untuk meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang bakal menyediakan hukuman penjara melebihi 10 tahun serta denda sehingga RM5 juta bagi pemburu haram adalah tepat pada masanya.
“Ini kerana aktiviti tersebut semakin berleluasa sehingga mengancam spesies haiwan yang dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, undang-undang yang lebih tegas juga diyakini dapat menangani masalah pemburuan haram dan penjualan haiwan yang semakin berleluasa dalam media sosial serta portal perdagangan dalam talian. – UTUSAN ONLINE











