KUALA LUMPUR – Pansar Bhd. (Pansar), syarikat penyelesaian kejuruteraan, melalui anak syarikatnya, Pansar Engineering Services Sdn. Bhd. telah berjaya memperoleh projek tebatan banjir Sibu fasa 3 bernilai RM78 juta daripada Kiasan Engineering Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Menurut Pengarah Urusan Pansar, Datuk Tai Hee, projek berkenaan memfokuskan kepada kawasan Kampung Hilir dan Kampung Nangka di Sibu dan keseluruhan projek dijangka siap menjelang Mac 2022.
Bandar Sibu yang terletak dalam laluan sungai Rajang kerap terjejas ketika musim monsun namun sejak pelaksanaan projek tebatan banjir fasa 1 dan 2 yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran sejak 2011, penduduk telah menyaksikan penurunan kes-kes banjir berlaku.
“Penganugerahan projek tersebut membuktikan kepakaran syarikat dalam melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Tai Hee menjelaskan, syarikat akan terus mengembangkan perniagaan secara organik dan bukan organik serta sentiasa mengintai peluang pemerolehan yang dapat membantu melengkapi perniagaan semasa selain mengembangkan aliran pendapatan.
“Kami juga secara agresif melaksanakan pelbagai jalan untuk mengurangkan pembaziran tersembunyi dalam operasi.
Pansar yang berpangkalan di Sarawak merekodkan perolehan sebanyak RM386.5 juta dan untung bersih RM50.1 juta bagi tahun kewangan 2018.











