Mastura didesak letak jawatan - Utusan Malaysia

Mastura didesak letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Mei – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri mengecam Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN), Mastura Mohd Khalid yang mengeluarkan kenyataan berkaitan cadangan tindakan perlu diambil bagi menangani peminjam bermasalah.

Ketua Armada negeri, Asran Alias berkata, tindakan Mastura yang mengumumkan perkara yang masih di peringkat cadangan dan belum dipersetujui dilihat memberi kesan tidak baik kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama dalam kalangan pengundi muda.

“Sehubungan itu, kami mendesak beliau yang membuat kenyataan tersebut walaupun masih lagi di peringkat perbincangan tanpa persetujuan Wan Saiful Wan Jan (Pengerusi PTPTN) supaya meletak jawatan serta-merta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita melihat isu berkaitan PTPTN sebagai isu yang dekat dengan anak muda. Cara beliau mengeluarkan kenyataan itu seolah-olah mencabar anak muda tanpa melihat justifikasi ekonomi semasa golongan ini,” katanya dalm sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam taklimat bersama media baru-baru ini, Mastura mendedahkan cadangan sedang dipertimbang PTPTN bagi menangani isu peminjam bermasalah termasuklah cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Mengulas lanjut, Asran berkata, pihaknya berada di belakang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah keras cadangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Asran berkata, Armada Kelantan sedia menawarkan diri sebagai orang tengah antara kerajaan Pas Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri ini.

Kata beliau, isu bekalan air tidak pernah selesai, sebaliknya semakin kritikal dan pihaknya tidak yakin perkara itu mampu diselesaikan kerajaan negeri yang ada pada hari ini memandangkan ia berlarutan sudah hampir 30 tahun.

“Kita terima banyak rungutan daripada penduduk dan sekarang ada tiga kawasan paling kritikal iaitu Machang, Tumpat dan Pasir Puteh.

“Kami boleh jadi orang tengah atau perunding jika kerajaan negeri buntu untuk selesaikan masalah ini, kita buat tanpa ada apa-apa bayaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini