Keputusan dakwa suspek selepas siasatan selesai - Utusan Malaysia

Keputusan dakwa suspek selepas siasatan selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 19 Mei – Keputusan bagi mendakwa suspek yang terlibat berhubung kes kematian Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin akan dibuat sejurus siasatan selesai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, setakat kini siasatan terhadap itu masih berlangsung dengan ia dijalankan secara menyeluruh.

“Setakat ini, siasatan masih berlangsung, Tunggu selesai dan keputusan pendakwaan akan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan polis berhubung kematian Siti Kharina, 40, yang ditemukan mati di sebuah bilik di sebuah kondominium di Cyberjaya pada petang Rabu lalu.

Ibu kepada tiga anak itu ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang dalam keadaan terlentang di atas lantai dan tidak lengkap berpakaian selain terdapat kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala.

Ekoran kejadian, tiga suspek termasuk seorang wanita telah direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dalam sidang akhbar Khamis lalu berkata, penemuan ibu kepada tiga anak tersebut terbongkar apabila seorang juruteknik datang untuk membaiki mesin basuh tetapi pintu kondominium tidak dapat dibuka.

Menurut Noor Azam, juruteknik itu telah memanggil pemilik rumah tersebut sebelum ternampak darah mengalir keluar daripada salah sebuah pintu bilik kondominium itu.

Siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di kondominium yang disewanya.

Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dengan dia kali terakhir menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini