ROME 19 Mei – Pilihan kempat, Karolina Pliskova dari Republik Czech menundukkan wakil Britain, Johanna Konta 6-3, 6-4 untuk menjuarai kejohanan tenis WTA Terbuka Itali, hari ini.
Pliskova, yang mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Perancis pada 2017, merangkul gelaran ke-13 dalam kariernya pada pertandingan pemanas badan terakhir untuk permukaan tanah liat sebelum Roland Garros membuka tirai kejuaraan pada 26 Mei ini.
Berjaya mencipta break point dalam setiap set sudah memadai buat bekas pemain No. 1 dunia, Pliskova menewaskan Konta dan sekali gus memastikan kemenangannya pada match point ketiga selepas bertarung selama 85 minit di dalam gelanggang.
“Kejayaan itu sesuatu yang hebat buat saya dan juga pasukan. Terdapat beberapa perlawanan yang sukar, tetapi saya gembira berjaya mengatasi mereka. Saya agak gementar, hari ini, kerana ia merupakan perlawanan akhir di Rome, jadi ia memang sudah dijangkakan,” kata pemain berusia 27 tahun itu, yang kini berada di bawah bimbingan jurulatih baharu iaitu, Conchita Martinez.
Pilihan utama, Naomi Osaka dan Petra Kvitova menarik diri daripada pertandingan kerana kecederaan, manakala juara Roland Garros, Simona Halep tersingkir dalam aksi pembukaan di Itali.
Pemenang empat kali di Rome, Serena Williams turut menarik diri sebelum pusingan kedua, selepas berehat panjang selama dua bulan, tetapi malangnya bekas pemain No. 1 dunia itu terpaksa berundur diri kerana masalah lututnya sekali lagi membelenggu pemain Amerika Syarikat tersebut.
Pliskova, merupakan satu-satunya pemain yang berada pada ranking tertinggi masih bertahan pada pertandingan itu dan tuah berpihak kepadanya apabila memenangi Terbuka Itali sebelum kejuaraan Grand Slam di Roland Garros bermula. – AFP











