Hancur dua jari, mercun bola meletup di tangan - Utusan Malaysia

Hancur dua jari, mercun bola meletup di tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 19 Mei – Seorang pemuda hancur dua jari pada tangan kirinya selepas mercun bola yang dipegang dipercayai tiba-tiba meletup dalam kejadian di Kampung Changhai, Sik, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 34 tahun itu turut mengalami kesan terbakar pada bahagian dadanya dipercayai kesan akibat letupan itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, mercun bola berkenaan dipercayai dinyalakan secara tidak sengaja oleh lelaki terbabit yang sedang menunggang motosikal sambil menghisap rokok ketika kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Jabatan Kecemasan Hospital Sik menerima kes tersebut pada pukul 4.20 petang dan segera memberikan rawatan kecemasan bagi meredakan kesakitan dialami lelaki itu.

“Berdasarkan maklumat pesakit, dia sedang memegang empat biji mercun bola dengan tangan kirinya (sebelum kejadian) dan tidak sengaja menyalakan sumbu mercun itu sehingga mengakibatkan letupan.

“Mangsa mengalami kecederaan serius pada jari manis dan jari kelingkingnya yang luka teruk sehingga menampakkan bahagian tulang yang turut patah akibat letupan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, lelaki terbabit yang mengambil upah menjaga kebun penduduk dalam perjalanan untuk menghalau sekumpulan kera dengan menggunakan mercun bola terbabit ketika kejadian.

Tambah Dr. Norhizan, lelaki itu yang berada dalam keadaan stabil kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani kira-kira pukul 8 malam untuk menerima rawatan lanjut.

“Terdahulu, pihak Hospital Sik turut mendapatkan bantuan Balai Bomba Dan Penyelamat Sik bagi menanggalkan cincin daripada jari beliau,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini