LUMUT, 19 Mei – Jurulatih Selangor, B. Sathianathan kecewa selepas skuad Gergasi Merah gagal melakar kemenangan ke atas PKNP FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di sini, semalam.
Pengendali berusia 60 tahun itu berkata keputusan seri 1-1 tidak sepatutnya berlaku jika anak buahnya bermain dengan baik dan menyempurnakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.
“Pemain kena ubah sikap, jangan ambil sambil lewa, saya dah cakap dalam perbincangan sebelum perlawanan dengan pemain. Kita tak boleh pandang rendah keupayaan PKNP FC namun sebaliknya yang berlaku.
“Daripada sepakan penjuru hingga ke sepakan percuma, kita tidak ambil peluang itu. Ada (pemain) yang tendang bola tak sampai sasaran dan langsung tidak membahayakan kubu gol PKNP FC. Jadi, selepas ini semuanya kita kena betulkan,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 hasil jaringan awang import, Olesegun Ifedayo sebelum PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang, G. Mugenthiran di minit ke-48. – BERNAMA











