LAWAS 19 Mei – Seorang guru telah ditahan polis untuk membantu siasatan kes gangguan seksual serta liwat membabitkan lima murid lelaki di sebuah sekolah rendah di sini pada tahun 2016.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun telah ditahan di Balai Polis Karamunsing,Kota Kinabalu Sabah kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
“Suspek bertugas di Lawas sejak Januari 2012 hingga sekarang telah menjadikan lima pelajar berusia 13 hingga 15 tahun sebagai mangsa pemuas nafsunya.
“Siasatan lanjut masih berjalan dan kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abang Zainal, satu laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 12.01 tengah hari semalam setelah kegiatan suspek tersebut terbongkar pada Sabtu 11 Mei lalu.
“Salah seorang mangsa yang kini bersekolah di sebuah sekolah menengah memberitahu tindakan suspek terhadap dirinya serta empat mangsa lain kepada guru lain.
“Mangsa mendakwa telah diraba di bahagian kemaluan dan diliwat oleh suspek pada tahun 2016,” jelasnya.
Sehubungan itu, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lawas untuk membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat hari ini,” katanya lagi sambil menambah mangsa mendakwa diraba kemaluan dan diliwat oleh suspek pada tahun 2016.- BERNAMA











