KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikehendaki polis susulan insiden rusuhan di sebuah pusat hiburan di ibu negara baru-baru ini telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, lelaki berkenaan hadir ke IPD Brickfields kira-kira pukul 3 petang bagi membantu siasatan sambil ditemani oleh peguamnya.
“Proses soal siasat telah dilakukan ke atas Datuk Seri tersebut termasuklah mengambil keterangan daripadanya dan dia telah dilepaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini siasatan masih lagi dijalankan dan kami sedang mengesan beberapa saksi serta suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, beberapa individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri menjadi buruan pihak polis selepas terlibat dalam satu kejadian rusuhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama pada 3 Mei lalu.
Dalam rusuhan yang dikatakan berpunca akibat perebutan seorang gadis itu, seramai lebih kurang 14 lelaki berusia dalam lingkungan 26 hingga 47 tahun telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM200,000 selepas memecahkan barangan di pusat hiburan tersebut dengan menggunakan kayu serta belantan.
Menurut Alzafny, daripada tiga lelaki yang diburu hanya dua sahaja termasuk Datuk Seri berkenaan yang telah tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
“Seorang lagi individu yang dikehendaki itu kini berada di luar negara dan dijangka akan menyerah diri sebaik sahaja pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini,” jelas beliau. – K! ONLINE











