MARAN, 19 Mei – Semangat juang pemain membolehkan skuad Felda United bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 semasa menentang Terengganu FC pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, malam tadi.
Ketua jurulatihnya Mohd. Nidzam Jamil mengakui anak buahnya menyedari hakikat mereka tidak boleh kehilangan mata sekiranya mereka mahu memperbaiki kedudukan liga.
“Saya akui Felda United bagus dari segi membuat ‘come back’… Pemain muda juga bijak beraksi pada perlawanan ini walaupun bermain dalam tekanan kerana kedudukan kami yang berada di tangga tercorot buat masa ini.
“Beberapa perubahan taktikal perlu dilakukan sepanjang perlawanan termasuk memasukkan penyerang import Kei Ikeda kerana dia tahu apa yang perlu dilakukan jika kita ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, jaringan Kei Ikeda dua minit sebelum waktu permainan tamat menyelamatkan The Fighters daripada menghadapi kekalahan buat kali ketiga berturut-turut. – BERNAMA











