KUALA LUMPUR 19 Mei – Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak berada di beberapa kawasan terpilih di Jakarta, Indonesia berikutan himpunan besar-besaran akan diadakan pada Rabu ini sempena dengan pengumuman rasmi keputusan Pemilihan Umum Serentak 2019 (Pemilu2019) negara terbabit.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan, kawasan tersebut melibatkan beberapa tempat iaitu berdekatan bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Jalan Imam Bonjol dan bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jalan M.H. Thamrin, Jakarta Pusat.
“Terdapat laporan media menyatakan akan berlaku perhimpunan besar-besaran yang diadakan di cawangan KPU dan Bawaslu di kota-kota lain di seluruh Indonesia pada Rabu (22 Mei 2019) di kawasan berikutan pengumuman rasmi keputusan Pemilihan Umum Serentak 2019.
Berita berkaitan:
“Oleh itu, rakyat Malaysia di Indonesia adalah dinasihatkan untuk mengelak daripada berada di kawasan yang terjejas dan mengikuti perkembangan terkini melalui laporan media tempatan serta elakkan daripada mempercayai maklumat yang diragui kesahihannya.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia yang merancang untuk mengunjungi mana-mana negara asing dinasihatkan untuk mendapatkan insurans perjalanan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
“Rakyat Malaysia yang ingin ke Indonesia diminta untuk mendaftar dengan Kedutaan melalui pautan berikut: goo.gl/ixYVfy
“Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, sila hubungi kami di talian yang tertera di bawah,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











