Restoran tawar 35 jenis makanan halal Korea Selatan dibuka - Utusan Malaysia

Restoran tawar 35 jenis makanan halal Korea Selatan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Mei – Mengambil kesempatan fenomena K-pop yang melanda negara ini sejak lebih 10 tahun lalu, Chir Chir Fusion Chicken Factory Malaysia yang menawarkan 35 jenis makanan Korea Selatan membuka cawangan keduanya di negara ini di sini baru-baru ini.

Cawangan kedua Chir Chir Fusion Chicken Factory Malaysia itu adalah di Mid Valley South Key di sini dengan kos kira-kira RM2 juta selepas membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur pada 2016.

Pengarah Urusannya, Lawrence Tan berkata, pihaknya sanggup mengeluarkan belanja besar selepas mendapati makanan di restoran berkenaan bukan sahaja mempunyai citarasa unik, malah memenuhi selera masyarakat tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Restoran ini mempunyai lebih 400 rangkaian di Korea Selatan dan kami berbangga kerana dapat membawa jenama ini ke Malaysia sejajar dengan populariti K-pop yang melanda negara ini sejak lebih 10 tahun lalu.

“Selepas beroperasi di Kuala Lumpur sejak 2016, cawangan kedua di Mid Valley South Key ini untuk memberi peluang kepada peminat K-pop tempatan dan Singapura menikmati makanan yang dibawa khas dari Korea Selatan,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Katanya, semua resipi, rempah dan tepung diimport khas dari Korea Selatan bagi memastikan rasanya tidak berubah.

“Bagi memastikan pelanggan terutama umat Islam boleh menikmati juadah ini tanpa was-was, kami hanya membeli ayam dari pembekal terkenal yang mempunyai sijil halal diiktiraf pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, paling menarik adalah semua hidangan hanya dimasak selepas ditempah dan bukannya seperti restoran makanan segera, bertujuan memastikan setiap hidangan lebih segar dan enak.

Menurutnya, restoran tersebut boleh memuatkan kira-kira 100 pelanggan dalam satu-satu masa dan sepanjang Ramadan pihaknya memperkenalkan pakej untuk empat orang bernilai RM89.90 merangkumi dua set utama, dua set sampingan dan tiga air.

“Kami kini dalam peroses untuk mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan berkaitan pada sos dan resipi yang kami gunakan, selain restoran kami sendiri,” ujarnya.

Pihaknya yakin, apabila memperoleh sijil halal perniagaan tersebut akan lebih meningkat kerana pengguna terutama umat Islam akan yakin untuk menikmati makanan yang kami sediakan.

“Semua kakitangan kami adalah penduduk tempatan, namun tukang masak kami dilatih tukang masak dari Korea Selatan dan Singapura bagi memastikan rasa masakan juadah yang disediakan sama dengan apa yang dijual di Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini