MADRID 19 Mei – Valencia akhirnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya meraih slot ke Liga Juara-Juara selepas menewaskan Real Valladolid dengan keputusan 2-0 untuk berada di tangga keempat La Liga.
Kejayaan Valencia itu menghancurkan impian Getafe dan Sevilla yang mahu merebut kelompok empat terbaik.
Pengendali Valencia, Marcelino berkata, keupayaan pasukannya kekal konsisten membolehkan mereka meraih tempat keempat liga yang menjadi buruan seteru kelab berkenaan Getafe serta Sevilla.
“Ia musim yang menakjubkan buat kami.
“Kami ada banyak masalah namun kami berupaya kekal tenang menghadapi semua cabaran pada musim ini.
“Dapat kembali ke Liga Juara-Juara semula adalah pencapaian yang hebat dan ia satu pencapaian baik buat kami,” katanya.
Ketika ini Valencia ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga ketiga Real Madrid, yang akan menentang Real Betis di laman sendiri awal pagi esok dan 15 mata di belakang pasukan kedua, Atletico, yang seri 2-2 di Levante. – AFP











