ISNIN lalu 69 peratus warga maya menyokong keputusan seorang remaja di Kuching, Sarawak untuk membunuh diri. Gadis berumur 16 tahun itu dipercayai membuat satu undian dalam Instagramnya dengan memaparkan status ‘Really Important, Help Me Choose D/L’ yang membawa maksud D (mati) dan L (hidup).
Sebanyak 69 peratus yang terdiri daripada rakan akaun media sosialnya telah mengundi di Instagram miliknya memilih supaya D manakala 31 peratus lagi memilih L.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan di lokasi.
Namun begitu, tidakkah kita merasakan insiden ini merbahaya? Perbuatan cubaan membunuh diri adalah satu kesalahan di Malaysia.
Oleh itu, pihak yang membantu atau menyokong perbuatan membunuh diri juga turut melakukan kesalahan. Warga maya mungkin berpendapat ini hanya gurauan. Namun gurauan ini bertukar menjadi tragedi
apabila mengakibatkan kematian.
Adakah sokongan dari rakan warga Instagramnya yang mendorong dia membunuh diri? Adakah galakan dan sokongan rakan warga Instagramnya boleh dikategorikan sebagai bersubahat dalam perbuatan membunuh diri tersebut?
Memandangkan remaja ini memilih untuk mengikut undian terbanyak, mungkinkah dia masih hidup jika rakan warga Instagramnya tidak mengalakkannya melakukan perkara tersebut?
Istilah umum ‘bersubahat’ telah ditakrifkan sebagai membantu atau untuk memberikan bantuan, mendorong atau menggalakkan.
Berlandaskan Kanun Keseksaan, seseorang dianggap bersubahat jika dia menghasut orang lain untuk melakukan jenayah, atau berkomplot dengan yang lain untuk melakukan jenayah dan beberapa perbuatan yang
dilakukan sebagai lanjutan daripada konspirasi itu atau jika dia sengaja membantu orang lain untuk memudahkan pelakuan jenayah.
Beberapa kategori subahat ialah subahat dengan hasutan, subahat dengan konspirasi dan subahat dengan bantuan.
Persoalan undang-undang juga berbahas dalam menetapkan hukuman kerana bersubahat di mana orang bersubahat melakukan perbuatan itu dengan niat yang berbeza atau pengetahuan pensubahat itu.
Seksyen 107 Kanun Keseksaan mengklasifikasikan subahat secara menghasut (abetment by instigation) apabila penghasut membantu pesalah dalam melakukan jenayah. Ini merangkumi penghasut telah merangsang, mencadangkan apa-apa perlakuan dengan apa-apa cadangan dan sebagainya.
Seksyen yang sama mengkategeorikan subahat dengan sengaja membantu (abetment by intentional aiding) sebagai sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sebelum atau pada waktu sesuatu perbuatan dilakukan dengan bertujuan untuk menyenangkan perbuatan itu dilakukan maka orang itu dikatakan telah membantu melakukan perbuatan tersebut.
Manakala seksyen 108 memperuntukkan perbuatan subahat melalui mengambil bahagian bersama satu pakatan jahat (abetment by conspiracy) iaitu persetujuan beberapa orang untuk melakukaan sesuatu perbuatan yang salah atau melakukan dengan cara yang salah.
Keadaan menjadi lebih serius jika pensubahat itu hadir pada masa kesalahan itu dan menjadikan dia disabitkan kesalahan utama dan tidak semata-mata sebagai pensubahat.
Dalam soal komunikasi di media sosial, kemungkinankah mereka yang berkomunikasi dengan mangsa ketika kejadian dikategorikan sebagai ‘hadir’ pada masa kesalahan tersebut dilakukan?
Kes yang mendapat liputan meluas di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu menunjukkan Amerika Syarikat memandang berat perbuatan menyokong jenayah di media sosial di mana Michelle Carter telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua setengah tahun atas dakwaan membunuh teman lelakinya tanpa niat kerana menggalakan mangsa untuk mengambil nyawanya.
Walaupun ia jarang berlaku di negara kita, kejadian malang ini tidak boleh berulang lagi dan kita tidak patut menganggap ia sebagai kes yang terpencil. Masyarakat setiap peringkat umur terdedah kepada media sosial.
Rata-rata kita boleh lihat ibu bapa ‘mendiamkan’ anak-anak dengan memberi kebebasan melayari media sosial.
Ramai yang terpesona dengan paparan media sosial sehingga ada yang terlibat dengan kemalangan dan ada yang dibuang kerja kerana alpa dan tidak kurang berlaku kecuaian kerana terlalu asyik dengan tindakbalas (response) ruangan Wechat, Instagram, Facebook, Whatsapp, Skype dan sebagainya.
Kesan media sosial terhadap masyarakat berada ditahap serius memandangkan terdapat segelintir masyarakat yang mengikut pendapat warga maya dalam insiden mengakhiri hayatnya sendiri.
Warga maya yang berkongsi pendapat dalam ruangan media sosial perlu peka akan kemungkinan-kemungkinan jenayah yang boleh turut dipalit kepada mereka tanpa disedari.
Setiap orang juga harus berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan yang memudaratkan diri sendiri. Berfikirlah dengan rasional dan pegang teguh dengan ajaran agama.
Media sosial menjadi platform penting untuk berkomunikasi maka ia perlu dipantau oleh pihak yang berkaitan supaya tidak keterlaluan.
Berdasarkan kepada takrif subahat ini, mungkinkah pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap 69 peratus pemilik Instagram yang mengundi supaya mangsa membunuh diri?
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah











