KUALA LUMPUR 17 Mei- Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dengan tertangkapnya 16 individu termasuk dua pengarah menerusi Op Serkap dalam serbuan di sebuah syarikat di Taman Perindustrian OUG, off Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Kesemua suspek berusia 22 hingga 63 tahun itu ditahan oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi kira-kira pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu dipercayai bergerak aktif mengeluarkan pelekat permit atau Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport antarabangsa palsu negara Bangladesh dan India bagi warga asing di Lembah Klang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket yang telah bergerak aktif sejak setahun lalu itu didalangi dua pengarah syarikat warga tempatan serta dua warga Bangladesh.
“Sindiket ini turut menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan permohonan ‘rehiring’ warga asing yang ingin bekerja atau membuat lanjutan permit kerja dengan bayaran sekitar RM1200 hingga mencecah RM3000.
“Sasaran utama adalah warga Bangladesh serta India yang mempunyai masalah untuk proses ‘rehiring’ atau mereka yang gagal membuat lanjutan permit kerja. Mana-mana warga asing yang mempunyai pas atau permit PLKS ini akan terlepas jika ada sebarang operasi dilakukan penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, hasil soal siasat mendapati seorang daripada warga asing dalam syarikat berkenaan berperanan untuk memasarkan aktiviti pemalsuan tersebut.
Jelas beliau, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebanyak 710 buah pasport Bangladesh; 10 buah pasport India; 10 pelekat PLKS palsu; lima komputer mengandungi dokumen jabatan yang boleh dipalsukan; dua buah mesin pencetak; 91 buah fail dokumen ‘rehiring’ cop syarikat; buku cek serta wang tunai dianggarkan bernilai RM78,000.
“Kesemua suspek kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1A)(c) Akta Imigresen 1956/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. Kita juga akan melaksanakan operasi ini secara berterusan untuk mengesan dalang yang terlibat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











