Syarikat penerbangan berdepan tekanan - Utusan Malaysia

Syarikat penerbangan berdepan tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Suruhanjaya Penerba­ngan Malaysia (Mavcom) menjangkakan tekanan terhadap hasil dan keuntu­ngan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia susulan kadar pertumbuhan kapasiti tempat duduk yang diramal melangkaui kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan.

Pengerusi Eksekutif Mav­com, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, Mavcom meramalkan peningkatan trafik penumpang penerbangan di antara 105.5 juta hingga 106.7 juta, bersamaan dengan pertumbuhan trafik di antara 2.9 hingga 4.1 peratus berbanding tahun 2018.

Beliau berkata, suruhanjaya itu turut menjangkakan ketidakpastian yang lebih besar pada masa hadapan berikutan kadar pertumbuhan ekonomi global dan tempatan yang dijangka menjadi lebih perlahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara purata, harga mi­nyak jet pada 2019 dijangka menjadi lebih rendah berbanding tahun lepas dan ini akan mengurangkan tekanan kewangan yang dialami oleh syarikat-syarikat penerba­ngan,” katanya dalam Laporan Industri dwi-tahunan Waypoint, Mavcom di sini hari ini.

Laporan tersebut memberikan gambaran menyeluruh mengenai industri penerba­ngan Malaysia.

Tambah Nungsari, suruhanjaya sedang memantau kadar pertumbuhan kapasiti permintaan bagi penerbangan domestik dengan teliti, mengambil kira jangkaan penambahan kapasiti tempat duduk yang mana ia akan memberi kesan yang ketara terhadap prestasi kewangan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.

“Pertumbuhan trafik antarabangsa bergantung kepada pelbagai faktor, tetapi kami ingin melihat peningkatan jumlah trafik penumpang pe­nerbangan untuk destinasi ASEAN,” katanya.

Menurut laporan Waypoint, Malaysia telah mencatat jumlah penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik sebanyak 102.5 juta pada 2018 dengan peningkatan trafik penumpang penerbangan antarabangsa sebanyak 5.5 peratus.

“Kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan yang semakin rendah adalah berikutan kadar pertumbuhan Kelua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang lebih rendah iaitu sebanyak 4.7 peratus berban­ding 5.9 peratus pada tahun 2017 serta pengurangan kapasiti tempat duduk oleh syarikat pe­nerbangan Malaysia dan asing sebanyak 6.4 peratus dan 4.5 peratus, berbanding 8.6 peratus dan 15.6 peratus pada tahun 2017,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini